Terdapat 2 sebab utama untuk kita perlu tahu cara kira waktu subur:
- Untuk mengira dengan tepat tempoh bagi mudah untuk hamil.
- Untuk perancangan keluarga bagi mengelakkan daripada mengandung.
Fasa kitaran haid ini terbahagi kepada beberapa fasa yang utama.
Fasa Pertama: Hari Pertama Hingga Ke 4
Fasa ini dikenali sebagai menstruation atau keluar haid. Ketika inilah haid mengalir keluar. Anda perlu mencatat tarikh hari pertama datang bulan di kalendar iaitu tarikh fasa ini bermula dan bila tarikh tamat haid kering. Sekiranya anda merancang untuk hamil, disarankan untuk membuat catatan pada setiap bulan. Ini penting untuk menganggar kitaran period anda berapa hari setiap bulan dan adakah haid anda teratur.
Fasa Kedua: Hari Ke 5 Hingga Ke 13
Fasa ini juga dikenali sebagai ‘follicular phase‘. Pada ketika ini, hormon estrogen seorang wanita akan meningkat dan darah akan membentuk lapisan tebal di dinding rahim. Manakala, telur yang berada di sekitar ovari pula akan mencapai tempoh matang. Ini adalah tempoh persediaan untuk kehamilan.
Fasa Ke Tiga: Hari Ke 14
Pada masa ini proses ovulasi akan terjadi. Peningkatan hormon ‘Luteinizing’ akan merangsang telur untuk keluar dari ovari dan menanti untuk disenyawakan dengan sperma. Sekiranya sperma yang dinanti tak kunjung tiba, bermakna proses persenyawaan tak berlaku maka ia akan terus melalui tiub fallopio ke rahim seorang wanita.
Fasa Ke Empat: Hari Ke 15 Hingga 28
Fasa luteal ini adalah satu fasa di mana sejenis hormon yang dikenali sebagai hormon ‘progestrone’ akan dirembes keluar dari sarangnya iaitu corpus luteum. Rembesan hormon ini akan menyebabkan lapisan dinding uterus semakin menebal. Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, maka lapisan dinding rahim yang tebal ini akan runtuh dan proses kitaran akan berulang kembali seperti di Fasa 1.
Cara Kira Waktu Subur Wanita
Waktu subur wanita itu adalah pada hari ovulasi itu terjadi atau semasa fasa ke 3 bermula kerana telur telah dirangsang keluar dari sarangnya. Jika mahu dihitung dengan tepat, tempohnya adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama kita didatangi haid pada kitaran seterusnya atau bulan berikutnya.
Leave a Reply