Rakyat Johor terdiri dari pelbagai suku Melayu. Yang domain ialah suku Jawa sehingga ada yang masih pekat atau totok. Meskipun begitu, tidak semua berasal-usul dari keluarga marhein dari Pulau Jawa. Ada yang terdiri dari golongan berpendidikan tinggi agama, pendakwah dan juga petani yang berjaya. Tetapi kerana keluasan tanah terhad di Pulau Jawa maka mereka pun berhijrah ke Negeri Johor. Kini, mereka adalah rakyat Johor yang berjaya dan maju dengan hasil perkebunan. Kebanyakan anak mereka berpendidikan tinggi dan menjawat perkhidmatan awam negeri Johor dan Persekutuan.

images

Mengikut sejarah, kedatangan suku Jawa ke Johor adalah hasil galakan dari Temenggong Daing Ibrahim (1810-1862) ketika membuka ladang gambir di Johor sekitar 1830-an setelah perusahaan gambir di Singapura gagal kerana kekurangan tanah dan kayu-kayan yang menjadi bahan bakar utama perusahaan itu. Dasar menggalakkan pekerja atau kuli bukan sahaja dari Jawa tetapi juga dari Cina bagi memajukan tanaman gambir melalui sistem kangkar yang diperkenalkan beliau.

Usaha dan dasar memajukan Johor melalui perdagangan hasil hutan dan perladangan gambir ini serta dasar membawa masuk pekerja luar telah diteruskan oleh anakanda baginda, Temenggong Abu Bakar (1833-1895). Di zaman Temenggong Abu Bakar dasar ini dan pembangunan yang terhasil sampai ke puncak klimaks pada tahun 1860 sehingga 1895. Dasar membangunkan negeri yang diterajui oleh Temenggong Daing Ibrahim telah diteruskan oleh cucuanda baginda Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar(1873-1959).

Suku Jawa digalakkan datang ke negeri Johor untuk bekerja dan membuka kebun. Disamping sebagai pekerja dan pekebun mereka juga menjadi pengimbang pola jumlah dan taburan pekerja atau pekebun bangsa Cina. Satu surat khas terkenal dengan nama Surat Kebenaran Membuka Kebun dikeluarkan oleh pejabat Temenggong dan kemudian Pejabat Tanah Negeri Johor semasa pemerintahan Temenggong Abu Bakar. Pekerja atau orang Cina dikawal dengan peraturan Kangkar dan Sistem Kangcu manakala orang Jawa dikawal oleh pemimpin tradsional iaitu penghulu dan orang-orang Kaya selaku pembesar dan wakil raja.

Orang Jawa juga banyak dibawa masuk oleh Syarikat Konstantinople milik jutawan Arab bernama As Sagof yang mendapat konsesi membuka ladang seluas daerah Pontian. Beliau ialah sahabat baik kepada Maharaja Abu Bakar dan beliau telah membawa masuk pekerja-pekerja Jawa melalui Sistem Haji di mana beliau memberi kemudahan menunaikan fardu haji kepada pekerja Jawa melalui tabungan upah bekerja di ladang kelapanya di Pontian. Pekerja Jawa boleh menunaikan fardu haji apabila wang perbelanjaan yang dikumpulkan mencukupi. Mereka juga diberi kemudahan menunaikan haji terlebih dahulu dan kemudian bekerja untuk melangsaikan hutang. Sesiapa yang telah menunaikan fardu haji diberi pilihan untuk pulang ke kampung halaman atau terus menetap atau bekerja mengumpul wang sebagai bekalan apabila kembali ke tanahair dengan bekerja di ladang Syarikat Konstantinople.

Perusahaan dan perniagaan syarikat ini amat terkenal dan terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Perdagangan yang diusahakan oleh syarikat ini termasuk perkapalan, pengangkutan laut, perladangan dan juga perniagaan barang-barang nusantara dan juga dari Cina ke Timur Tengah sehingga ke Konstantinople di Turki. Keluarga As Sagof memiliki puluhan kapal sendiri dan sebahagian besarnya berkuasa dan berinjin wap. Ladang-ladangnya terdapat di Pulau Muluku, Kalimatan atau Borneo, Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Johor. Pejabat-pejabat pengurusan syarikat ini terdapat di Turki, Saudi Arabia, Yemen, India, Sumatera, Pulau Jawa dan di Singapura. Pejabat terbesarnya terletak di Konstantinople Turki dan di sebelah timur terletak di Singapura dan ditengah-tengah rangkaian perdagangannya yang terletak di Yemen dan juga India.

Di Johor, kemudahan atau Sistem Haji yang diperkenalkan oleh Syarikat Konstantinople mendapat sambutan hangat dari penduduk Jawa yang beragama Islam kerana tiada berunsur penipuan dan penganiayaan. Berbondong-bondong orang Jawa mendaftar diri menjadi pekerja Syarikat Perladangan Konstantinople ini. Sebahagiannya terus menetap dan menjadi rakyat Johor.

Selain daripada itu, fakta penarik orang Jawa datang ke Johor juga adalah disebabkan oleh galakan Inggeris yang telah mewar-warkan kegemilangan dan kemakmuran negeri Singapura dan Johor yang diperintah oleh raja Melayu yang moden dan adil seperti pemerintahan Inggeris ketika mentadbir pulau Jawa menjaga kepentingan Belanda yang sedang terlibat dengan peperangan Napoleon. Inggeris telah mengambil kesempatan mempengaruhi orang Jawa agar menolak Belanda dan menerima Inggeris terus memerintah Jawa. Ketegasan Belanda mengambil semula negeri-negeri taklukannya setelah Perang Napoleon berakhir telah mendorong Inggeris berusaha meluaskan pengaruhnya di Nusantara.

Sistem tanaman paksa oleh Belanda pada tahun 1820-an yang telah memaksa penduduk Jawa menanam hanya kopi, teh dan rempah ratus sahaja telah menimbulkan kemarahan orang Jawa yang menghadapi kekurangan bahan makanan. Bagi mengelak kebuluran, ramai orang Jawa telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan tinggal di negeri Melayu dibawah pengaruh pentadbiran Inggeris. Kebanyakan orang Jawa yang kuat pegangan agama dan enggan tunduk di bawah pengaruh pentadbir kafir (Belanda) telah memilih Johor untuk menetap. Mereka telah datang secara berperingkat-peringkat dengan menaiki kapal milik kerabat diraja yang dikenali sebagai sadagar raja yang mendapat kebenaran khas belayar dan berdagang di nusantara oleh Belanda.

Mengikut catatan sejarah, gerombolan atau gelombang penghijrahan orang Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu yang paling aktif ialah pada tahun 1835 sehingga 1900. Ini adalah berikutan Sistem Rodi atau Tanaman Paksa yang dipaksakan oleh Belanda dan pengeluaran hukuman berat kepada sesiapa yang engkar perintah sehingga sampai ke tahap mengancam nyawa. Keluarga kerabat Diraja Cerebon sebagai contoh merupakan kumpulan saudagar Raja yang paling aktif kerana mereka mahir berlayar dan berdagang di serata teluk dan rantau serta pelabuhan-pelabuhan di Nusantara. Berdagang dan berdakwah adalah budaya hidup mereka. Mereka mewarisi ilmu pelayaran, perdagangan di samping penyibaran agama sejak turun-temurun dan berasal-usul daripada sheikh-sheikh dan pedagang Arab.

Mengikut catatan Belanda, Hj Ibrahim pernah berulang alik dari Jawa ke Melaka pada tahun 1800-1825 kemudian anaknya Lebe Mat (Lebai Muhamad) adalah antara nakhoda Jawa berdarah Arab (Saudagar Raja Cerebon) yang telah membawa masuk orang-orang Jawa ke Semenangjung Tanah Melayu. Mereka mempunyai jadual belayar yang tetap dan berulang alik dari Pulau Jawa sejauh Maluku, Tuban, Cerebon, Betawi, Siak, Singapura, Muar, Melaka, Selangor, Kelang, Bruas dan Kuala Kedah dari tahun 1800-1879. Muar telah dipilih menjadi penempatan keluarga mereka kerana terdapat perkampungan Arab di situ.

Kampung Jawa Muar (Kg Bakri) contohnya telah dibuka pada tahun 1869 oleh Hj Md Noh anak Lebai Muhamad bin Hj Ibrahim. Sebelum itu, Penghulu Jabar yang berasal dari Jawa Timur telah mengikut kumpulan pelayaran saudagar raja Cerebon ke Parit Bakar Muar pada tahun 1860 dan membuka Parit Jawa pada 1865. Rombongan dan penghijrahan dari Jawa terus berlaku pada tahun-tahun berikutnya apabila Gerisik, Bukit Gambir, Sungai Raya dan beberapa perkampungan dan desa dibuka oleh orang Jawa di Muar dan di sepanjang pantai barat Johor atas galakan Maharaja Abu Bakar yang kemudian bergelar Sultan Johor (1885).

Gerombolan kedua orang Jawa berhijrah ke Johor, sebelah pantai timur Johor dan di sepanjang pantai barat Semenangjung adalah pada tahun 1915 sehingga hujung 1930-an berikutan pembukaan ladang getah, nenas dan teh tetapi penanaman teh tidak digemari oleh orang Jawa kerana mereka mempunyai pengalaman pahit dan hitam di Jawa sehingga pengusaha-pengusaha dan peladang Inggeris terpaksa membawa masuk perkerja dari India bekerja di ladang teh mereka.

Pada tahun 1885, bermula sejak Maharaja Abu Bakar bergelar Sultan, semua peneroka Jawa dibenarkan menamakan kampong dan desa yang dibuka oleh mereka mengikut nama atau tempat asal usul mereka kerana kesetiaan mereka tidak diragui lagi dan Sultan Abu Bakar telah mendapat mandat dan daulat sultan secara rasmi dari kerajaan Inggeris.

Ketika Zaman Jepun (1942-1945) terdapat juga catatan sejarah di mana banyak tentera paksa berketurunan Jawa yang dibawa masuk dari pulau Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu gagal pulang dan akhirnya terus menyusup dan menetap sebagai penduduk di sini. Mereka diterima dengan baik kerana terdapat suku Jawa yang telah lama bermastautin malah diakui sebagai rakyat asal Negeri-negeri Tanah Melayu.

Kini (2012), mengikut perincian dari statistik pembacian Jabatan Perangkaan Negeri, Johor (2010), orang Melayu adalah sebanyak 48%, Cina 40% India 8% dll bangsa 4%. Pecahan Suku Melayu daripada sejumlah 48% itu ialah suku Jawa sebanyak 50%, suku Melayu Bugis 12%, Melayu Johor 30% dll 8% . Boleh dikatakan orang Melayu suku Jawa adalah tunjang kepada kemajuan dan pembangunan negeri Johor. Mereka mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan ketika ini mereka juga menjawat jawatan tinggi dalam banyak jabatan dan berpengaruh dalam parti politik yang diterajui oleh UMNO Johor. Mereka dengan bangga mengaku sebagai bangsa Melayu dan berasal-usul dari suku Jawa.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Parit Jawa Muar 24.11.2012